Kesediaan Belajar, Persepsi dan Penanggapan

PROSES PEMBELAJARAN

KESEDIAAN BELAJAR, PERSEPSI DAN PENANGGAPAN

Pengenalan

Pengajaran adalah suatu aktiviti yang dapat mengubah tingkah laku, sikap, atau kepercayaan murid-murid terhadap sesuatu perkara yang dipelajarinya. Hal ini berlaku apabila berlakunya proses pembelajaran maka terhasilnya pengajaran dalam diri seseorang itu. Oleh yang demikian tanpa pembelajaran, pengajaran tidak akan dapat diwujudkan dan segala pengajaran haruslah tertumpu kepada kepada pembelajaran murid-murid.Terdapat banyak faktor yang telah dikenalpasti yang dapat mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan efektif. Antara faktor-faktor utama ialah kesediaan belajar, pengamatan atau persepsi dan penanggapan. Oleh yang demikian, faktor-faktor tersebut dapat menentukan kejayaan atau kegagalan murid-murid dalam mengalami proses pembelajaran kerana proses pembelajaran adalah suatu proses yang sistematik dan tersusun.

Kesediaan Belajar

Menurut kamus Dewan, istilah ‘kesediaan’ bermaksud kesanggupan atau kerelaan manakala istilah ‘belajar’ bermaksud menuntut ilmu pengetahuan. Oleh itu, dapatlah ditakrifkan ‘kesediaan belajar’ sebagai keadaan status diri individu yang sudi menerima maklumat atau ilmu pengetahuan dari persekitaran dengan berfikiran terbuka. Kesediaan belajar merupakan faktor yang sangat penting untuk memastikan setiap isi kandungan pelajaran difahami oleh murid-murid. Menurut Bruner (1966), kesediaan belajar adalah merujuk kepada apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada mana-mana peringkat perkembangan. Hal ini adalah kerana, kesediaan belajar dapat diwujudkan melalui perkembangan individu dari segi emosi, intelek, psikomotor dan kematangan murid. Contoh, kanak-kanak berfikir secara konkrit pada peringkat perkembangan mereka dan pemikiran konkrit ini digunakan sebagai persediaan untuk mempelajari cara pembelajaran abstrak. Oleh yang demikian, persediaan ini dapat membantu pelajar untuk memahami pelajaran yang baru berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada.

Jenis-Jenis Kesediaan Belajar

Kesediaan pelajar ini merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang berbeza antara setiap murid. Kesediaan belajar dari aspek kognitif bermaksud kesediaan mental seseorang untuk memahami, memikir dan menaakul dalam keadaan pembelajaran yang baru. Kognitif adalah satu proses mental mengubah input sensori kepada bentuk yang lebih bermakna dengan merekod, menyimpan dan menggunakan semula maklumat yang sedia ada. Hal ini jelas kita lihat apabila seseorang individu menggunakan maklumat yang sedia ada dalam persekitarannya dan mengaplikasikan ingatannya dalam membuat keputusan. Contohnya, murid-murid sekolah rendah bersedia untuk belajar operasi konkrit apabila mereka masuk ke sekolah menengah dan bersedia untuk belajar operasi yang kompleks. Maksudnya, seseorang pelajar telah bersedia dari segi kognitifnya apabila pencapaian ilmiahnya setimpal dengan usaha dan latihan yang diperlukannya.

Kesediaan afektif pula adalah dari segi keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat seseorang untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat ditunjukkan melalui perlakuan iaitu sikap kesedaran, minat, prihatin dan bertanggungjawab murid tersebut dalam kesungguhannya melaksanakan aktiviti pembelajaran yang diberi oleh guru. Contohnya, Nazri meminati subjek Sains kerana menyukai aktiviti eksperimen. Oleh itu, melalui kesediaan afektif ini, murid-murid dapat meningkatkan pembelajaran, minat, dan juga persaingan yang sihat dalam kalangan mereka sekali gus dapat memotivasikan murid-murid dengan menganggap pembelajaran adalah suatu bidang yang menyeronokkan dan memberikan suatu kepuasan kepada diri mereka. Mengikut hukum Thorndike (1913), apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan tindakan, maka tindakan itu dapat memberikan kepuasan kepadanya. Sekiranya dia tidak melakukannya, akan menimbulkan perasaan dukacita dan jika dia terpaksa melakukannya maka pembelajaran yang terhasil menjadi tidak sempurna. Oleh yang demikian, kesediaan belajar merupakan persiapan-persiapan yang perlu ada sebelum individu itu bertindak iaitu belajar.

Kesediaan psikomotor pula ialah merangkumi penggunaan keperluan kemahiran dan penyelarasan tulang dan otot aktiviti fizikal. Kesediaan psikomotor pula bermaksud kesediaan seseorang yang mempunyai potensi dan bersedia untuk melakukan tindakan fizikal dalam suatu proses pembelajaran yang baru. Namun demikian, harus diambil kira bahawa kesediaan psikomotor ini adalah berbeza dalam kalangan murid-murid walaupun mempunyai umur yang sama. Hal ini adalah kerana, kesediaan psikomotor ini adalah berkait rapat dengan latihan yang memerlukan kemahiran yang betul dan latihan yang berterusan. Contoh, subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Muzik dalam permainan alat muzik piano. Oleh yang demikian, murid-murid dapat memperbaiki psikomotor mereka dengan latihan yang berterusan sebagai persediaan psikomotor mereka.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kesediaan Belajar

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar iaitu baka. Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan di antara ibu bapa dengan anak-anaknya dari segi kebolehan, minat dan kawalan emosi. Contoh, jika ibu bapa seseorang anak itu pandai maka, anak-anaknya akan mengikut kebolehan yang dimiliki oleh kedua ibu bapanya. Disamping itu, faktor persekitaran, contohnya jika persekitaran murid itu terdiri dari masyarakat yang suka membaca, murid tersebut akan terikut-ikut untuk membaca buku. Kedua-dua faktor ini mempunyai kecenderungan dalam perkembangan murid dalam proses mempelajari sesuatu yang baru. Selanjutnya, kedua-dua faktor tersebut menentukan kematangan dan pengalaman murid-murid. Oleh yang demikian, kesediaan pelajar adalah hasil daripada sejauh mana matangnya seorang murid itu dan berapa berapa banyak pengalaman yang ada dapat membantunya bersedia dalam pengajaran dan pembelajarannya semasa di dalam bilik darjah.

Seterusnya, kematangan juga adalah merupakan salah satu faktor dalam kesediaan belajar dan ianya dibahagikan kepada tiga iaitu kematangan fizikal, kematangan intelek, kematangan sosial dan kematangan emosi. Ketiga-tiga jenis kematangan ini sebenarnya memang sudah sedia ada dalam diri setiap murid.

Setiap manusia yang normal akan menjalani corak pertumbuhan dan perkembangan fizikal dalam lima peringkat iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Pada peringkat bayi, perkembangan fizikal adalah cepat dan ianya sama dengan peringkat remaja. Perubahan otot, ketinggian dan saiz murid akan menjalani perubahan untuk menunjukkan kematangan fizikal pelajar. Pada peringkat dewasa pula, kematangan begitu bermakna kerana seseorang itu boleh melakukan apa sahaja kebolehan dan kekuatan yang telah diperolehinya pada peringkat perkembangan yang lebih awal. Namun, apabila mencapai peringkat tua, kekuatan tenaga mula beransur-ansur hilang. Natijahnya, pada usia ini seseorang itu akan mudah cepat letih, kurang tenaga dan kesihatan akan sentiasa terganggu. Kematangan fizikal akan berakhir dengan sempurna apabila mencapai umur 18 tahun dan pada ketika dan selepas itu individu masih boleh tetap membesar dengan pertambahan berat badan. Hubungan antara kematangan fizikal dalam menentukan kesediaan belajar untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran adalah sangat penting bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran guru. Contohnya, murid tahun 1 tidak boleh memegang raket tenis dengan betul kerana otot-otot mereka belum berkembang dan tidak mampu memegang raket yang berat disebabkan belum mencapai kematangan fizikal lagi.

Kematangan intelek pula ialah perkembangan yang berlaku pada otak apabila umur seseorang telah meningkat. Oleh itu, kesediaan untuk menerima pelajaran yang lebih abstrak boleh diterima kerana otak telah bersedia untuk menerimanya. Namun, guru harus mempertimbangkan tahap perkembangan intelek murid-murid adalah tidak sama dan guru perlu bijak menyediakan strategi pengajaran dan bahan-bahan pembelajaran yang lebih sukar atau mengaturkan aktiviti-aktiviti pengayaan yang sukar kerana murid-murid bersedia menerima tahap pembelajaran yang lebih sukar. Contohnya, dalam subjek Matematik guru memberikan aktiviti pengayaan topik pecahan aras tinggi pada murid tahun 6A kerana otak mereka telah bersedia menjawab soalan yang sukar.

Kematangan emosi ialah darjah pencapaian kestabilan dalam perasaan yang berkaitan dengan minat, keinginan dan kepuasan dan gangguan dalaman terhadap pelajaran. Sehubungan itu, sesuatu rangsangan yang selaras dengan minat dan keinginan dapat membangkitkan emosi positif yang mendorong seseorang murid itu belajar. Misalnya, murid-murid mendapat ransangan emosi ababila guru menggunakan kaedah nyanyian melodi ria dalam menghafal huruf ABC dalam kalangan murid prasekolah. Walaubagaimanapun, guru harus sedar kerana emosi setiap pelajar adalah berbeza dan guru perlu bijak merancang pembelajarannya selaras dengan kesediaan belajar dan keperluan murid-murid.

Kematangan sosial pula ialah kematangan murid-murid untuk berinteraksi antara satu sama lain dan guru memainkan peranan penting untuk memangkin mereka dalam pelajaran. Dalam sebuah bilik darjah sikap dan tingkahlaku murid-murid adalah berbeza kerana ada yang pendiam, periang, aktif, lemah, sederhana dan pandai. Oleh itu bagi menghasilkan kesediaan pembelajaran, guru haruslah memperkembangkan kematangan sosial murid-murid secara positif untuk menggalakkan pembelajaran harmoni. Umpamanya, melaksanakan dalam aktiviti berkumpulan dengan menggabungkan murid yang pendiam dengan murid yang riang dan murid yang lemah digabungkan dengan murid yang pandai. Oleh yang demikian, mereka dapat saling berinteraksi, membuat tugasan dan keputusan secara koperatif dan kolaboratif sekali gus dapat mewujudkan, membantu dan meningkatkan kesediaan belajar kerana wujudnya interaksi yang dapat mematangkan hubungan sosial mereka antara satu sama lain.

Selanjutnya, pengalaman sedia ada yang disusun rapi dapat membantu murid-murid untuk mempunyai kesediaan belajar yang teratur dalam mata pelajaran tertentu. Terdapat setengah ahli teori pembelajaran yang mengatakan bahawa sekiranya bahan pembelajaran disusun dengan sempurna mengikut kesusahan dan perkaitannya, maka semua kanak-kanak dapat mempelajari apa-apa jua idea tentang urutan pembelajaran dan prasyarat tertentu adalah berdasarkan andaian bahawa kemahiran yang asas diperlukan terlebih dahulu sebelum pembelajaran kemahiran yang tinggi dan lebih kompleks. Contohnya, pelajar tingkatan tiga yang hendak memasuki kelas Sains mesti memenuhi prasyarat keputusan sekurang-kurangnya gred C dalam subjek Sains dan Matematik. Jika tidak, mereka akan mengalami kesukaran meneruskan pembelajaran yang lebih kompleks kerana mempunyai asas yang sangat lemah.

Selain daripada itu, pengalaman kanak-kanak juga sangat bergantung kepada latar belakang keluarga, kebudayaaan masyarakat dan alam sekelilingnya. Mengikut kajian Rosen (1958), keluarga yang berasal daripada kelas menengah ialah keluarga yang banyak memberikan sumbangan dalm kesediaan belajar anak-anak mereka. Contohnya mereka telah diasuh, diajar dan diberi peneguhan supaya sentiasa bersedia dalam pembelajaran untuk mendapat kecemerlangan dalam pelajaran. Mengikut prinsip Pavlov kanak-kanak menjadikan peneguhan daripada ibu bapa seperti berbentuk ganjaran untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Peranan Guru  Dalam Mewujudkan Kesediaan Belajar

Guru memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan kesediaan belajar dalam kalangan murid-murid. Terdapat beberapa inisiatif untuk membantu kesediaan belajar ialah guru haruslah kreatif mempelbagaikan kaedah pengajaran misalnya kerja secara berkumpulan, berpasangan dan individu supaya berlaku bimbingan rakan sebaya yang mana murid-murid yang kurang bersedia akan dibantu oleh murid yang bersedia. Selain itu guru haruslah mengggunakan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tahap kesediaan murid-murid untuk belajar menurut Reiser dan Gagne (1983) supaya ia merangsang minat murid-murid dalam mata pelajaran tertentu. Contohnya menggunakan bahan bantu mengajar berbentuk audio dan visual interaktif. Disamping itu strategi pengajaran guru, contohnya penerangan, demonstrasi, sumbang saran dan sebagainya hendaklah bersesuaian dengan tahap kognitif, emosi dan fizikal murid-murid.

Selain itu, membuat pemeringkatan isi kandungan pelajaran. Mengikut pembelajaran Gagne, mesti ada pembelajaran prasyarat sebelum pembelajaran yang seterusnya. Justeru, pengajaran kemahiran asas adalah perlu disampaikan terlebih dahulu sebelum pembelajaran kemahiran yang lebih tinggi dan lebih kompleks untuk menangani masalah kesediaan murid-murid yang pelbagai. Contohnya mengukuhkan asas murid-murid tahun satu dengan membaca, mengeja dan membunyikan perkataan sebelum diminta membuat ayat mudah.

Aktiviti pemulihan dan pengayaan juga adalah satu cara yang boleh dilakukan oleh guru. Contohnya, mengasingkan pelajar yang cerdik dan kurang cerdik untuk meningkatkan kesediaan belajar mereka. Murid yang cerdik diberi penekanan akademik yang lebih banyak supaya peluang mereka untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi banyak manakala murid yang kurang cerdik diberi galakan untuk melengkapkan sesuatu tugasan mengikut kesedian belajar dan kesediaan emosi mereka.

 

PENGAMATAN

Istilah ‘pengamatan’ menurut kamus Dewan ialah ‘penelitian’. Secara spesifiknya maksudnya adalah sama dengan persepsi iaitu gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran, pandangan atau tanggapan. Proses pengamatan bermula daripada rangsangan luar yang dikesan oleh organ-organ deria iaitu mata, telinga, hidung, lidah ataupun kulit. Ransangan yang dikesan akan menghasilkan impuls yang dihantar ke otak melalui sistem saraf. Kemudian, otak akan berusaha mentafsir maklumat yang diterima berdasarkan kepada pengalaman yang berkaitan, mengintrepretasi dan membentuk gambaran, bayangan, makna atau konsep rangsangan tersebut. Contoh, melalui deria mata, ransangan kilat dari awan tebal masuk ke mata seseorang dan membentuk imej di retina yang terletak di belakang otak dan impuls dihasilkan dan dihantar ke otak melalui saraf optik. Otak kemudian mentafsir dan menterjemahkan maklumat yang diterima dan kemudian barulah konsep kilat dapat dibentuk. Maka, pengamatan dapat dirumuskan sebagai proses mental atau kognitif di mana otak menerima maklumat daripada rangsangan luar yang dikesan oleh organ deria dan membentuk konsep rangsangan tersebut.

Oleh yang demikian, ahli-ahli psikologi kognitif iaitu Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Pengamatan adalah kompenen yang sangat penting dalam proses pembinaan pengetahuan baru dalam struktur kognitif seseorang. Menurut teori Gestalt, manusia mengamati dengan menerima maklumat melalui deria dan kemudian menyusun semula maklumat tersebut dalam ingatannya mengikut kefahaman mereka sendiri. Contoh, murid diminta oleh guru untuk mengamati objek panjang, licin dan bergerak. Sifat-sifat tersebut diamati melalui deria mata dan dipadankan dengan sifat tersebut iaitu ular.

Oleh yang demikian, walaupun setiap individu mempunyai organ deria yang sama, penerimaan rangsangan mungkin berbeza justeru pengamatan juga turut akan berbeza. Jika seseorang itu kurang sihat maka pengamatannnya akan turut terjejas. Menurut Krech (2002) pengamatan merupakan proses memberikan erti terhadap lingkungan persekitaran individu.

Faktor-Faktor Pengamatan

Terdapat beberapa faktor-faktor pengamatan iaitu peranan guru untuk memastikan murid-murid terlibat dengan sepenuhnya dan mempunyai motivasi intrinsik yang tinggi dalam mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Hal ini boleh dilakukan dengan menggunakan strategi-strategi dan pendekatan yang berbeza seperti kuiz, perbincangan, inkuiri penemuan, eksperimen dan banyak lagi yang menumpukan kepada pengamatan supaya mereka dapat meningkatkan kefahaman murid-murid dalam pelajaran.

Selain itu, kebolehan pengamatan juga adalah bergantung kepada minat, kebolehan kognitif dan pengalaman murid-murid itu sendiri ke atas sesuatu objek atau subjek. Contohnya, pengamatan seorang murid apabila melihat gambar seorang budak perempuan dengan lelaki tua dan beruban. Murid itu mengamati dan mentafsirkan bahawa lelaki tua dan beruban itu merupakan datuk kepada budak perempuan itu. Oleh yang demikian, pengamatan dan pentafsiran itu adalah dipengaruhi oleh pengalaman yang lampau.

Selain itu, keadaan sasaran pada objek yang diamati yang contohnya pergerakan, bunyi, saiz, latar belakang dan kedekatan atau kejauhan objek tersebut akan menentukan ketepatan mengamati seseorang murid.

Contohnya, hubungan latar hadapan dengan hubungan latar belakang yang wujud secara bersama di dalam sebuah gambar ataru carta juga akan mempengaruhi pengamatan murid-murid. Hal ini kerana, perhubungan latar belakang dan hadapan adalah asas kepada semua bentuk persepsi. Faktor-faktor yang menyumbang kepada perbezaan-perbezaan dalam hubungan latar hadapan dengan hubungan latar belakang ialah pula adalah disebabkan oleh warna, saiz dan kekuatan sesuatu rangsangan.

Susunan objek dan benda-benda maujud dalam persekitaran mereka juga akan mempengaruhi pengamatan murid-murid. Contohnya pengamatan murid-murid terhadap gambarajah, tulisan atau lukisan.
3.2 Kepentingan Pengamatan dalam Pembelajaran
1. Kemampuan untuk membeza, mengumpul dan membuat penumpuan itu disebut sebagai kemampuan untuk mengorganisasikan pengalaman.
2. Pengamatan merupakan satu proses kemahiran yang memerlukan kecekapan dalam menganalisis bentuk-bentuk dan simbol dalam bacaan.
3. Kanak-kanak mesti mempunyai kekuatan dalam konsep nombor agar dapat memastikan nombor tersebut betul
4. Kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui pancaindera setelah berlakunya proses dalam mental.
5. Pengamatan ialah satu kemahiran yang boleh berkembang dan dipelajari. Sungguhpun ia berkait rapat dengan darjah kecerdasan seseorang kanak-kanak itu, tetapi ia boleh diajar kepada kanak-kanak lemah supaya dapat membantu mereka dalam pembelajaran.
6. Ruth Strang – “ Reading Diagnosis and Remediation” beliau mengatakan pengamatan ialah satu proses yang bergantung kepada kognitif dan kederiaan. Proses ini penting kepada pembelajaran terutama dalam pembinaan konsep yang dialami oleh kanak- kanak.
7. Janet W. Learner (1971) – Children With Learning Disabilities telah mentafsirkan bahawa pengamatan adalah satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera atau mekanisme yang mentafsirkan sesuatu pergerakan panca indera dengan kuasa intelek.

PENANGGAPAN

Istilah ‘penanggapan’ dalam kamus dewan bermaksud ‘pencerapan’. Ianya didefinisikan sebagai tanggapan mental sesuatu objek, konsep atau ciri-ciri melalui deria, kesedaran dan kefahaman. Mengikut Solso (2001), konsep merupakan bayangan mental, idea dan proses, manakala pembentukan konsep pula adalah terhasil daripada ketajaman fikiran individu dalam mengklasifikasikan objek-objek atau idea-idea. Dalam proses pembelajaran pembentukan konsep atau penanggapan adalah sangat penting. Ianya memudahkan konsep itu diingat dengan mudah, menganalisis, menghubung dengan situasi yang lain dan mengumpulkan maklumat yang berguna dan dapat menyelesaikan masalah untuk tujuan tertentu. Mengikut Bruner (1967), konsep adalah kategori-kategori mental yang membantu dalam proses mengklasifikasikan objek, peristiwa atau idea-idea berasaskan ciri-ciri khasnya. Ianya melibatkan murid-murid membanding beza dan mengkategorikan ciri-ciri untuk sesuatu konsep. Contohnya, murid dapat mengklasifikasikan sifat-sifat khusus haiwan bertulang belakang dan yang tidak bertulang belakang.

Faktor-Faktor Penanggapan

Terdapat beberapa faktor yang membentuk penanggapan iaitu pengalaman akan membantu seseorang murid itu membentuk konsep. Satu rangsangan atau pengalaman yang dialami akan dikodkan dengan lebih mudah. Umpamanya, seorang anak nelayan dapan mengkategorikan ciri-ciri ikan tempatan dengan mudah.

Selain itu, melalui imaginasi yang merupakan kebolehan mental seseorang untuk membayangkan sesuatu walaupun objek yang tidak berada di depan mata namun oleh kerana daya imaginasi yang tinggi akan memudahkan seseorang murid dapat memahami dan mentafsirkan konsep yang abstrak. Contohnya, murid menonton dokumentari kemajuan yang dicapai oleh manusia abad ke-20, mereka dapat membayangkan kemajuan yang bakal dicapai oleh manusia pada abad ke-21.

Disamping itu, penguasaan bahasa juga adalah sangat penting kerana dalam pembentukan konsep perbendaharaan kata dan pengungkapan ayat, penggunaan ayat dan struktur ayat yang baik sahaja yang dapat menggambarkan sesuatu konsep dengan tepat. Mengikut Teori Pelbagai Kecerdasan, Gardener (1983) berpendapat bahawa orang yang mempunyai kecerdasan ini menggunakan bahasa secara berkesan sama ada lisan ataupun tulisan dalam mentafsirkan konsep. Kemudian, konsep itu haruslah disertai dengan kejelasan fakta yang sahih supaya pengajaran dan pembelajaran seorang guru itu berkesan contohnya bunga mempunyai warna yang pelbagai dan tangkai yang terletak dihujungnya. Kemudian, disertai dengan contoh-contoh yang mudah supaya murid dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru.

Selain itu kecerdasan mental menurut Piaget (1950) yang merujuk kepada mental untuk mengubah persekitarannya supaya memenuhi kehendaknya. Ia melibatkan pemikiran yang peringkat tinggi seperti menganalisis, mensintesis pengalaman baru dan lama, membuat penilaian dan sebagainya. Oleh itu, kecerdasan murid-murid memudahkan penanggapan sesuatu konsep contohnya, murid tahun 1 menganalisis perbezaan bentuk yang terdapat antara burung dan ayam.

Oleh yang demikian, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pengamatan dan penanggapan merupakan dua perkara yang mempunyai hubung kait yang dapat meningkatkan tahap kognitif murid-murid. Tanpa kedua-dua perkara tersebut, murid begitu sukar untuk memahami konsep dan isi kandungan pelajaran yang disampaikan oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Cara-cara Meningkatkan Pengamatan dan Penagggapan

Terdapat beberapa cara untuk meningkatkan pengamatan dan penanggapan iaitu guru haruslah memulakan pengajaran yang konkrit kepada abstrak iaitu dalam erti kata lain yang mudah kepada susah supaya murid dapat menerima pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh guru. Contohnya, murid tahun 1 diminta oleh guru dalam akitiviti pelajaran untuk melihat objek air dan guru meminta mereka untuk menyenaraikan kegunaan air dalam kehidupan seharian.

Selain itu, menerangkan suatu konsep dengan jelas dan tidak mengelirukan murid-murid. Sebagaimana yang diketahui konsep besar tidak sama nilai yang sebenarnya. Contoh, duit syiling lima puluh sen lebih besar dan berat daripada duit kertas satu ringgit namun wang kertas satu ringgit itu lebih bernilai daripada wang syiling tersebut. Oleh yang demikian, konsep ini perlu diperjelaskan kepada kanak-kanak yang berusia 4 tahun.

Selanjutnya, guru perlu menerangkan sesuatu maklumat dengan betul. Demikian juga maklumat yang diterima atau yang dikemukakan oleh pelajar. Maklumat tersebut perlu ditapis dan dianalisis terlebih dahulu agar ia tidak menjadi kenyataan yang kabur dan hasil pengajaran dan pembelajaran oleh murid adalah tidak terpesong daripada kebenarannya. Contohnya, guru menjelaskan haiwan amfibia mempunyai kulit yang lembab seperti katak.

Selain itu, guru perlu menjelaskan sesuatu perkataan dengan tepat. Contohnya dalam bahasa melayu terdapat beberapa perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi berbeza bunyi dan maksudnya. Contohnya perkataan ‘rendang’ iaitu sejenis makanan dan perkataan ‘rendang’ menunjukkan sifat pokok. Hal ini penting supaya murid mengetahui istilah yang sama namun mempunyai maksud dan bunyi yang berbeza.

Peranan ibu bapa dan guru seboleh-bolehnya mempelbagaikan kaedah mengajar, mendidik dan membimbing anak-anak supaya mereka dapat memahami sesuatu tajuk yang dipelajari dengan mudah. Contohnya, dalam subjek Matematik, terdapat pelbagai cara atau langkah untuk mendapatkan jawapan yang sama dan betul bergantung kepada tahap kebolehan kognitif mereka.

Rumusan

Oleh yang demikian, faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran murid-murid iaitu kesediaan belajar, pengamatan dan penanggapan haruslah diambilkira   oleh guru sebelum memperkenalkan topik pembelajaran yang baru. Setiap murid mempunyai latar belakang kesediaan pembelajaran, pengamatan dan penanggapan yang berlainan dan membawa pengalaman dan tahap kematangan yang unik ke dalam bilik darjah. Sekiranya apa yang diajar oleh guru tidak serasi dengan tahap kematangan dan pengalaman serta kesediaan murid-murid, proses pembelajaran akan terjejas dan terbantut.

Walaupun terdapat perbezaan antara pengamatan dan penanggapan namun ianya mempunyai hubungan dalam membentuk pemahaman kognitif dalam diri murid-murid. Hal ini kerana, proses penanggapan berlaku apabila berlakunya proses pengamatan untuk mendapat maklumat dan makna. Kemudian minda akan membentuk penanggapan konsep hasil daripada pengamatan yang merujuk kepada skema atau struktur kognitif yang sedia ada di dalam otak.

Oleh itu, peranan guru adalah sangat penting untuk meningkatkan tahap kesediaan belajar, pengamatan dan penanggapan murid-murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran supaya dapat membina keyakinan murid-murid untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

 

 

 

 

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *